Kok Chin (tengah) bercakap dengan pemberita pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan tangkapan seorang pelajar Tingkatan Dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Balik Pulau bagi membantu siasatan mendatangkan kecederaan parah terhadap rakan sekelasnya pada 25 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, hasil siasatan mendapati berlaku tolak-menolak antara suspek dengan mangsa berusia 14 tahun itu sebelum terjatuh dari tangga di bangunan asrama institusi berkenaan.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan pada anggota badan dan menerima rawatan di Hospital Balik Pulau sebelum dibawa untuk rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang.

“Pada awalnya kita mohon reman ke atas pelajar berkenaan namun dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita selesai merakamkan keterangannya berhubung insiden tersebut pada keesokan hari.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Mengulas lanjut Kok Chin berkata, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKKAITAN

Pelajar Tingkatan Dua MRSM dipercayai jadi mangsa buli parah di muka

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang pelajar tingkatan dua institusi pendidikan menengah di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di sini, mengalami kecederaan di bahagian muka dipercayai berpunca daripada kes buli.

Bapa mangsa, Chandran Veluppillai ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan perkara tersebut sudah dilaporkan kepada pihak polis selain dimaklumkan kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook. – MalaysiaGazette