Dr Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia (SPIIM) menjunjung titah raja-raja Melayu berhubung Kalimah Allah serta menyokong keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 2013 serta 2014 bahawa penggunaannya khusus untuk umat Islam.

Setiausaha Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, dalam masa yang sama, sekretariat tersebut menyokong usaha kerajaan untuk menyegerakan tindakan mengemaskini arahan pentadbiran dan pekeliling Kementerian Dalam Negeri berhubung penguatkuasaan penggunaan kalimah Allah.

“Agar tidak berlaku lagi isu dan kes mahkamah seumpama kes Jill Ireland yang membawa masuk CD bertulis kalimah Allah pada tajuknya menerusi LCCT, Sepang, Selangor,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, Khairuddin berkata, SPIIM turut menyeru semua pihak meneruskan usaha-usaha berdakwah bagi memupuk masyarakat Madani yang membawa mesej Rahmah dan menolak kelompok yang memecahbelahkan masyarakat.

Terdahulu,  SPIIM hari ini mengadakan mesyuarat kali pertama.

Menurut beliau, SPIIM memperakui tiga objektif menerusi mesyuarat berkenaan, termasuklah menjamin dan mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

“Memperkasakan perpaduan dan kesatuan umat Islam di Malaysia sebagai asas kerukunan bernegara; menyuburkan keharmonian bermasyarakat di kalangan rakyat Malaysia yang bersifat majmuk, berbilang agama dan kaum,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata SPIIM akan mengadakan Konvensyen Perpaduan Ilmuwan Islam bagi menghimpunkan alim ulama dan ilmuwan Islam untuk memperkasakan agenda Islam dalam kerangka Malaysia Madani.- MalaysiaGazette