Mohd Yusri Hassan Basri.

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa dikejarkan ke Hospital Gerik dekat sini selepas dilaporkan sesak nafas akibat termakan biskut campuran ganja yang dibuat oleh bapanya dalam di Lawin malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Lawin kira-kira  10.26 malam tadi berhubung kejadian menimpa budak berusia 11 tahun itu.

“Penoreh getah itu sendiri membawa anaknya ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan susulan mangsa termakan biskut yang dipercayai mempunyai campuran ganja yang dibuatnya sendiri.

“Keadaan kanak-kanak itu stabil namun masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Yusri, susulan itu, pihak polis melakukan serbuan di rumah penoreh getah berkenaan sebelum merampas biskut coklat campuran ganja dipercayai untuk kegunaan sendiri.

“Saringan ujian awal air kencing juga mendapati suspek berusia 38 tahun itu positif dadah tetrahydrocannabinol (THC). Bapa kepada kanak-kanak itu kini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga Sabtu bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette