iklim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Petunjuk awal indikator ekonomi menunjukkan dasar fiskal dan langkah Belanjawan 2023 telah membuahkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran yang diwarisi sejak kerajaan mengambil alih pada November 2022.

Malaysia telah mencapai pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus pada suku pertama (S1) 2023 berbanding unjuran 2023 sebanyak 4% hingga 5%) dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5% (berbanding 5.2% pada Mei 2020).

Pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60% daripada RM45 bilion pada S1 2022, disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antaranya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely / Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

Selain itu, pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s masing-masing pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupaun di tengah-tengah situasi global yang sangat mencabar.

Penekanan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengadakan dialog dengan pemimpin-pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli-ahli ekonomi berhubung langkah-langkah untuk memperkukuh pemacuan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik hari ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan mediannya berkata, Anwar yang juga menteri kewangan turut menyatakan komitmen kerajaan untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tatakelola serta mempertegak keadilan sosial untuk semua rakyat Malaysia, selaras dengan visi Malaysia Madani.

Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan danpeluang pekerjaan berpendapatan tinggi termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion.

“Kerajaan komited untuk meningkatkan lagi untuk mempermudah aktiviti perniagaan dan menyokong pelaburan langsung domestik,” kata Anwar semasa sesi dialog yang dihadiri oleh dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.

Tambah beliau, untuk terus menggalakkan pertumbuhan domestik, Kabinet telah menumpukan usaha untuk mempercepat pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan bagi aktiviti perniagaan antaranya termasuklah permohonan berkenaan ekspatriat yang berkemahiran.

Dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023).

Oleh itu, perdana menteri menjemput kumpulan perniagaan untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan ini.

Beliau urut mempelawa orang ramai untuk berkongsi cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen “Suarakan Pendapat Anda” di lawan web rasmi Kementerian Kewangan www.mof.gov.my. – MalaysiaGazette