Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar memberikan faedah kepada orang berinsurans PERKESO, Gunasegaran Karuppiah pada Ziarah Prihatin Menteri Sumber Manusia ke atas pencarum PERKESO di Jalan Meru, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 30 MEI 2023.

KLANG – Dua pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini menerima faedah bayaran bulanan pencen ilat untuk sepanjang hayat kerana didapati mengalami keilatan dan tidak mampu bekerja selepas kesihatan mereka terjejas.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, kedua-dua individu itu antara ribuan pencarum yang menikmati manfaat sama kerana mencarum dengan Perkeso ketika dalam perkhidmatan sebelum ini.

“Kami datang menyerahkan sendiri faedah ini untuk beri kesedaran kepada semua rakyat Malaysia supaya tahu dan faham akan peranan Perkeso.

“Keselamatan sosial sangat penting menjelang status negara maju, yang penting bukan setakat bekerja untuk mendapatkan gaji, lebih penting tahap keselamatan sosial,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menziarahi dua pencarum Perkeso di Kampung Perepat, Kapar dan Taman Eng Ann di sini yang mengalami keliatan hingga tidak mampu bekerja.

Hadir sama Ahli Parlimen Klang, V.Ganabatirau dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dua pencarum Perkeso itu ialah Sokkayee S.Periasamy dan Gunasegaran Karuppiah, masing-masing menerima bayaran bulanan Pencen Ilat berjumlah RM560 dan RM 2,751 setiap bulan sepanjang hayat.

Selain pencen ilat, kedua-dua pencarum terbabit juga menerima bantuan berupa peralatan pemulihan iaitu kerusi roda dan tangki oksigen.

Dalam pada itu, Sivakumar memberitahu masih ramai majikan yang enggan membuat caruman Perkeso ke atas pekerja-pekerja mereka.

“Ada dalam kalangan pekerja yang merasakan caruman Perkeso itu tidak penting walaupun jumlah caruman tidak besar mana.

“Ini kerana jumlah caruman sekecil itu lebih penting digunakan untuk kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, Sivakumar masih tidak berpuas hati dengan jumlah caruman yang dibuat oleh individu yang bekerja sendiri khususnya dalam sektor ekonomi gig berbanding jumlah pekerja yang mencecah lebih 1 juta orang ketika ini.

“Setakat ini seramai 570,000 individu yang bekerja sendiri sudah mencarum dengan Perkeso.

“Jumlah itu masih kurang, kalau kita tengok sekarang jumlah pekerja ekonomi gig sudah mencecah lebih 1 juta orang di seluruh negara.

“Masih ramai lagi belum mencarum dengan Perkeso, saya syorkan mereka yang bekerja sendiri kena anggap perlindungan Perkeso ini sangat penting,” katanya.

Selain itu, seramai 176,882 suri rumah dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sehingga 29 Mei 2023.

“Bagaimanapun jumlah ini masih jauh dari sasaran iaitu sekurang-kurangnya 500,000 suri rumah menjelang hujung tahun ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast