LANGKAWI – Pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyasarkan untuk menarik pelaburan berjumlah RM134 juta bagi industri aeroangkasa menjelang akhir tahun 2023.
Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata, agensi itu telah bertemu dengan syarikat aeroangkasa luar negara serta domestik yang mempunyai potensi pelaburan berkaitan pembuatan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa sewaktu acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23), baru-baru ini.
“Potensi pelaburan bagi projek-projek ini dianggarkan kira-kira RM900 juta dalam tempoh tiga tahun hingga lima tahun akan datang.
“Visi strategik dan dedikasi MIDA adalah untuk merevolusikan masa depan industri aeroangkasa Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Arham turut menyenaraikan potensi membabitkan pembuatan komponen penting, memperluas perkhidmatan MRO, membangunkan keupayaan penukaran dan pengubahsuaian selain memperkukuh rantaian bekalan tempatan.
Menurutnya, Malaysia mempunyai peluang unik untuk menjadi hab aeroangkasa serantau sejajar dengan unjuran pertumbuhan dalam pasaran pengembaraan udara Asia Pasifik.
“Bagi menyokong pertumbuhan industri aeroangkasa ini, Malaysia boleh menumpukan usaha memperkukuh ekosistem rantaian bekalan tempatan, termasuk membangunkan keupayaan kejuruteraan, pembuatan elektronik, pengeluaran bahan maju dan penyepaduan sistem.
“Usaha pembinaan rantaian bekalan yang mantap akan membolehkan Malaysia menyediakan pelbagai komponen dan perkhidmatan komprehensif kepada industri aeroangksa,” katanya.
Beliau turut berkongsi sentimen pelabur dalam industri itu di Malaysia yang secara amnya positif dan optimis, terutama menerusi kehadiran dan kerjasama syarikat global dan tempatan yang membentuk aspek pembangunan ekosistem sektor terbabit.
Industri aeroangksa Malaysia juga telah menyaksikan aliran peningkatan ketara dari segi pelaburan diluluskan bagi tempoh 2017-2019 yang melonjak daripada RM649.9 juta pada 2017 kepada RM2.07 bilion pada 2019.
“Bagi 2022, jumlah pelaburan diluluskan industri itu berjumlah RM146.8 juta dengan dua projek daripada syarikat milik penuh Malaysia selain mewujudkan 42 peluang pekerjaan,” katanya.
Menyentuh industri pembinaan dan pembaikan kapal (SBSR), Arham berkata pelaburan bagi perancangan 2023 termasuk mewujudkan kemudahan pembinaan dan pembaikan kapal untuk industri pertahanan, komersial serta minyak dan gas luar pesisir.
“Jumlah pelaburan yang berpotensi bagi projek ini dianggarkan RM2 bilion dengan pelaksanaan secara berperingkat dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang,” katanya.
Arham berkata bagi tempoh Januari hingga Mac 2023, Malaysia mencatatkan nilai eksport sebanyak RM133.5 juta bagi produk maritim, termasuk lima eksport utama berkaitan kapal tunda dan penolak (RM52.6 juta); kapal persiaran, kapal kargo dan tongkang (RM33.1 juta); kapal layar dan kapal lain bagi tujuan riadah atau sukan (RM31.6 juta); struktur terapung (RM15.8 juta); kapal ringan, pengorekan, dok terapung dan platform gerudi terapung atau tenggelam (RM0.3 juta).
“Destinasi eksport utama bagi tempoh itu adalah Indonesia (RM44.6 juta); Emiriah Arab Bersatu (RM22.1 juta); Amerika Syarikat (RM18.9 juta), Singapura (RM13.8 juta) dan Brunei (RM6.2 juta),” katanya.
Menurutnya, MIDA juga berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan daripada syarikat domestik dan asing, bukan hanya untuk aktiviti pembinaan dan pembaikan kapal tetapi dari segi komponen serta perkhidmatan lain berkaitan, termasuk melibatkan penyedia teknologi.
“Malaysia mengalu-alukan sebarang pelaburan syarikat asing dan tempatan dalam industri SBSR dan menyediakan peluang luas kepada pelabur untuk turut terlibat dalam aktiviti membina limbungan kapal, dok kering dan kemudahan pembaikan bagi memenuhi peningkatan permintaan di negara ini,” katanya. – BERNAMA