Anthony Loke (dua dari kiri) bersama Kon Yeow (kiri) meninjau kawasan Sia Boey yang dicadangkan sebagai tapak stesen LRT bagi laluan Komtar.

GEORGE TOWN – Pembinaan projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bagi fasa pertama di Pulau Pinang dijangka bermula akhir tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pembinaan LRT bagi fasa pertama itu merangkumi 27 stesen dengan jajaran laluan sepanjang 29 kilometer.

Jelas beliau, jajaran LRT itu bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hingga Tanjung Bungah berbanding jadual asal stesen terakhir di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Anthony Loke.

“Pihak Kementerian Pengangkutan telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta MRT Corp hari ini dan hasilnya kita mencapai persetujuan jajaran LRT bagi fasa pertama berakhir di Tanjung Bungah bukan Komtar seperti dicadangkan sebelum ini.

“Selain itu, kita juga telah mencapai persetujuan dengan kerajaannegeri untuk membina depoh LRT dalam kawasan sedia ada di bahagian Pulau bagi mempercepatkan proses pembinaan berbanding cadangan asal dibina atas kawasan tambak laut iaitu Projek Pulau Pinang Selatan (PSI).

“Kerja pembinaan LRT bagi fasa pertama ini akan mengambil masa lima tahun, jadi kerja-kerja pembinaan akan disegerakan dan kita jangka ia akan bermula akhir tahun ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Anthony Loke meninjau kawasan Sia Boey yang mana ia merupakan lokasi cadangan bagi stesen LRT laluan Komtar.

Pembinaan LRT fasa pertama dijangka mengambil masa lima tahun.

Hadir sama, Ketua Menteri Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari.

Menurut Anthony Loke, kos pembinaan LRT bagi fasa pertama ini belum dimuktamatkan memandangkan tapak pembinaan depoh utama tidak ditentukan lagi.

“Kita masih menunggu cadangan daripada kerajaan negeri berkaitan lokasi depoh utama itu kerana tanpa depoh tersebut pembinaan LRT tidak dapat dilaksanakan.

“Jika semua sudah muktamat kita akan maklumkan kepada Kementerian Kewangan agar proses pemanggilan tender dapat dilaksanakan sekali gus kerja-kerja pembinaan dilakukan,” ujar beliau.

Pada 6 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memperuntukan dana tambahan menerusi satu skim besar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu segera dilaksanakan.

Jelas beliau, pemberian dana tambahan itu dipersetujui susulan Pulau Pinang berdepan kesesakan lalu lintas yang keterlaluan sejak sekian lama dan LRT dilihat sebagai satu kaedah untuk mengatasi permasalahan terbabit.

Kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melibatkan projek LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Bagi merealisasikan PTMP, kerajaan Pulau Pinang melaksanakan PSR yang kini dikenali sebagai Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah yang mana, ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast