Friday, April 26, 2024
Home Seni Hidup Polis Evo 3 kutip RM16 juta, atasi Mat Kilau

Polis Evo 3 kutip RM16 juta, atasi Mat Kilau

Filem Polis Evo 3 mencipta sejarah apabila mencatat kutipan sebanyak RM16 juta selepas empat hari tayangan di pawagam seluruh negara, Brunei dan Singapura.
KUALA LUMPUR – Polis Evo 3 mencipta rekod apabila mencatat kutipan tiket sebanyak RM16 juta selepas empat hari ditayangkan kepada umum di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.
Rekod yang dilakar Polis Evo 3 itu sekali gus menjadikan filem arahan Syafiq Yusof ini sebagai filem dengan kutipan paling tinggi pada minggu pembukaan selepas pandemik, termasuk mengatasi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Kejayaan Polis Evo 3 dalam masa sama membuktikan filem tempatan masih mendapat sokongan daripada peminat dan menginginkan filem yang berkualiti.
Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad merakamkan penghargaan kepada seluruh peminat dan pencinta filem tempatan yang memberi sokongan pada naskhah berkenaan.
“Alhamdulillah atas kejayaan luar biasa ini dan ia membuktikan penonton kita masih mempercayai filem tempatan serta mahukan filem berkualiti.
“Jutaan terima kasih kepada semua. Sokongan padu anda menjadi nadi untuk filem Malaysia terus bernafas dan melangkah setanding naskhah luar negara.
“Terima kasih kepada rakan penerbit Skop Productions, TGV Pictures, rakan-rakan media serta pihak pawagam yang banyak membantu melakar kejayaan Polis Evo 3,” katanya dalam satu kenyatan di sini.
Dalam perkembangan sama, Raja Jastina berharap sempena musim cuti persekolahan  lebih ramai penonton akan merebut peluang untuk menonton Polis Evo 3 di pawagam,
“Memandangkan cuti sekolah telah tiba, kami mengharapkan lebih ramai penonton dapat datang menyaksikan filem aksi komedi ini bersama seisi keluarga kerana filem ini memang sesuai untuk hiburan sekeluarga.
“Hujung minggu lalu kami telah memulakan sesi jelajah di Pantai Timur dan kehadiran kami di sana telah disambut dengan meriah oleh ribuan penonton serta peminat.
“Ada dalam kalangan penonton yang sanggup datang dari jauh seperti Kota Bahru semata-mata untuk menyaksikan filem ini di pawagam,” kata Raja Jastina sambil memaklumkan barisan pelakon Polis Evo 3 akan berkunjung ke negeri-negeri di utara tanah air pada hujung minggu ini sempena siri jelalah.
Polis Evo 3 menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan, Eyka Farhana dan ramai lagi.
Ia mengisahkan Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai.
Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.
Sebelum ini, industri filem tanah air menyaksikan edisi sulung filem Polis Evo pada tahun 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta, sementara Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah kutipan RM23 juta. – MalaysiaGazette