Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Awang Adek Hussin (duduk, tiga kiri) serta yang lain ketika hadir membuat lawatan kerja ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 31 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggalakkan penggunaan teknologi kewangan (fintech) yang lebih meluas dalam bidang pertanian untuk membantu mencapai agenda keterjaminan makanan negara.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, akses kepada kewangan adalah penting untuk masa depan pertanian  bagi pekebun kecil dan usahawan pertanian yang ingin memodenkan industri serta mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan, katanya.

Menyedari cabaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS0 dalam sektor pertanian, beliau berkata, memanfaatkan penyelesaian fintech akan membantu
meningkatkan akses kepada pembiayaan dan meningkatkan kecekapan dalam sektor itu.

“Untuk mencapai matlamat ini, SC telah bekerjasama rapat dengan pemain ekosistem untuk membangunkan penyelesaian inovatif yang memenuhi keperluan pembiayaan unik petani dan perniagaan tani.

“Ini selari dengan agenda negara untuk menyokong peralihan sektor pertanian kepada sektor yang dinamik dan progresif di mana pasaran modal boleh menjadi pemboleh dan pemecut untuk membantu Malaysia mencapai agenda keterjaminan makanannya.

“Kaedah pembiayaan alternatif seperti pendanaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan P2P) membolehkan pelabur yang mempunyai minat terhadap risiko yang tinggi untuk menggerakkan modal secara langsung untuk
usahawan tani.

“Ini menyediakan lebih banyak pilihan untuk syarikat baru serta syarikat pertumbuhan tinggi untuk mengakses modal yang berkaitan dengan profil risiko perniagaan mereka,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmiannya di Persidangan SCxSC Grow Fintech yang menandakan persidangan SCxSC ke-10 telah diadakan secara bersemuka selepas pasca Covid-19 di sini hari ini.

SCxSC GROW ialah sebuah program kerjasama baharu, di bawah inisiatif utama fintech SC ‘Synergistic Collaboration by the SC’ (SCxSC).

Ia merangkumi usaha kerjasama dengan rakan kongsi dalam ekosistem fintech untuk memanfaatkan potensi platform digital pembiayaan alternatif bagi memenuhi keperluan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dalam sektor strategik.

Awang Adek menambah, lebih 7,000 PKS telah mendapat manfaat daripada pendanaan ECF dan pembiayaan P2P yang berdaftar dengan SC sejak di perkenalkan pada 2015.

Jelas beliau, ia telah mengumpul lebih RM4.4 bilion dengan hanya 600 PKS berkaitan pertanian di seluruh rantaian nilai yang mengumpul hampir RM300 juta yang memberikan peluang besar untuk pertumbuhan dan pelaburan pertanian.

“Malaysia juga merupakan negara pertama di rantau ini yang menggunakan model pelaburan bersama, khususnya MyCIF untuk platform kewangan alternatif.

“MyCIF memainkan peranan penting dalam menyediakan pembiayaan kepada PKS semasa pandemik Covid-19 dan melaksanakan nisbah peruntukan khas 1:2 untuk sektor pertanian pada 2022 yang lebih menarik daripada nisbah biasa 1:4.

“Kami telah melihat peningkatan minat kerana empat kali lebih banyak perniagaan tani telah mengumpul dana melalui ECF dan platform pembiayaan P2P,” tambahnya.

Sementara itu, Persidangan SCxSC GROW Fintech bertemakan Fostering Innovative Finance in Agricultire bertujuan untuk menjadi pengubah permainan bagi industri pertanian.

Dengan dunia yang menghadapi cabaran yang semakin kompleks, persidangan itu menghimpunkan pemain pertanian dan teknologi kewangan untuk meneroka penyelesaian inovatif kepada keselamatan makanan, kemampanan dan daya tahan rantaian bekalan.

Penyelesaian paling maju yang terbaharu telah dipamerkan pada persidangan itu, di mana ia menonjolkan kemajuan terkini dalam bidang ini.

Persidangan itu turut menampilkan pemain fintech tempatan dalam sektor pertanian di mana penyelesaian fintech ini berpotensi untuk merevolusikan cara petani mengakses
pembiayaan dan mengurus operasi membolehkan mereka menggunakan sumber dengan lebih baik dan meningkatkan hasil. – MalaysiaGazette