Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara UnIPSAS yang ditandatangani oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin bersama Rektor Universiti Al-Azhar, Profesor Dr Salamah Daud berhubung kerjasama strategik antara kedua-dua universiti ini pada semalam di Mesir

KUANTAN – Universiti al- Azhar sinonim sebagai ‘kiblat ilmu agama’ bagi anak- anak Pahang melanjutkan pelajaran sejak tahun 1950-an lagi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha memartabatkan akademik jurusan Islam antara negeri dan universiti itu diperkukuhkan sejak 2015 oleh Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

Jelasnya, UnIPSAS institusi pertama di Malaysia berkolaborasi bersama Universiti Al-Azhar dan telah menandatangani MoU dengan Universiti Al-Azhar sejak tahun 2015.

”Menerusi persefahaman itu hasilnya lepasan diploma UnIPSAS diterima terus ke Tahun 2 dan Tahun 3 di Universiti Al-Azhar.

”Turut berlangsung Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara UnIPSAS yang ditandatangani oleh Naib Canselor UnIPSAS, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Zawavi Zainal Abidin dan Universiti Al-Azhar berhubung kerjasama strategik antara kedua-dua universiti ini.

”Kerajaan Negeri Pahang sangat berterima kasih kepada Universiti Al-Azhar kerana mengiktiraf diploma UnIPSAS bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian di Universiti al-Azhar dalam Ijazah Sarjana Muda,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Wan Rosdy, beliau bersama delegasi kerajaan negeri telah bertemu dengan Rektor Universiti Al-Azhar, Prof Dr Salamah Daud serta dibawa melawat sekitar kampus universiti itu ketika lawatan rasmi di bumi Mesir sejak Isnin.

Beliau sempat memeriahkan majlis makan malam bersama anak -anak Pahang yang menuntut di Mesir di Kaherah pada malam tadi selain sama-sama solat Subuh berjemaah di Masjid Al-Azhar hari ini.

Wan Rosdy berharap berharap hubungan erat antara kedua-dua universiti ini akan diteruskan demi manfaat bersama.

Difahamkan menerusi kerjasama tersebut, rektor unversiti itu melaksanakan pelbagai aktiviti penyelidikan dan membenarkan pensyarah Universiti Al-Azhar menyampaikan ilmu di UnIPSAS sebagai pensyarah.

Terdapat lebih 10 orang guru dan pensyarah berbangsa Arab dari Mesir berkhidmat di Pahang sebagai guru di sekolah-sekolah agama negeri dan di UnIPSAS sekali gus peluang itu dimanfaatkan bagi memantapkan lagi penguasaan pelajar dalam Bahasa Arab.

Terdahulu Pemangku Raja Pahang melalui MUIP telah menyumbangkan  RM1 juta kepada Universiti al Azhar sebagai menghargai sumbangan Universiti al-Azhar dalam membantu perkembangan dakwah, pendidikan dan penyelidikan di Pahang.

ARTIKEL BERKAITAN :

Pahang contohi pendekatan wasatiah Mesir

350 anak Pahang diraikan di Kaherah

UnIPSAS merupakan satu satunya institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri dan telah berjaya dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti penuh pada tahun 2021.

Manakala Universiti Al-Azhar Al-Sharif merupakan sebuah institusi agama dan pendidikan Islam yang tertua ni Mesir itu telah ditubuhkan lebih 1,000 tahun lalu.

Universiti terulung ini juga berjaya membariskan tokoh ulama dan pemimpin ummah yang tersohor dan disegani selain melahirkan ribuan anak Pahang sebagai graduan Universiti al Azhar.

Malahan sebahagian besar jawatan dalam hal ehwal agama dan pendidikan agama di Pahang diterajui oleh graduan Al-Azhar.- MalaysiaGazette