Datuk Seri Ahmad Maslan.-Foto FAREEZ FADZIL, 31 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerima peningkatan sekali ganda aduan berkaitan penipuan atau scam daripada hanya 548 aduan pada 2020 kepada 1,124 aduan pada tahun 2022 dengan jumlah kerugian mencecah puluhan juta ringgit.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pada tahun lalu, aduan berkaitan penipuan merangkumi hampir 60 peratus daripada keseluruhan aduan yang diterima oleh SC.

“SC telah dan akan mengambil tindakan awalan termasuk melalui Alert List yang menyekat laman web dan media sosial serta mengeluarkan notis cease and desist.

“Lain-lain langkah termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap segala pelanggaran undang-undang sekuriti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat lawatan ke SC di sini hari ini.

Ahmad menambah, pada tahun lalu, SC telah menyenaraikan 267 nama ke dalam SC Investor Alert List dan menyekat 166 laman web dan 224 akaun media sosial yang disyaki menjalankan penipuan pelaburan.

“Pada suku pertama tahun ini sahaja, SC telah menambah 84 entiti ke dalam SC Investor Alert List, menyekat 61 laman web dan 80 akaun media sosial,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memberitahu, saiz pasaran modal di Malaysia telah meningkat 5.3 kali kepada RM3.6 trilion pada April lalu daripada RM0.7 trillion pada 1993.

Kata beliau, jumlah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia juga meningkat 2.4 kali kepada 999 syarikat pada April lalu daripada hanya 413 pada 1993. – MalaysiaGazette