Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan pada Majlis Penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil ‘’Citra Budaya Dan Perdaban Bangsa Malaysia” di Dewan Bahsa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 31 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
individu yang daif ilmu sejarah.

Malah Timbalan Perdana Menteri mendakwa, Muhammad Sanusi telah menghasut menerusi kenyataannya apabila mendakwa, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana negeri Pulau Mutiara itu masih hak Kedah.

“Hanya orang yang tidak buta sejarah sahaja yang mengetahui bahawa bukan hanya soal Perlembagaan dan soal perundangan tetapi, harus dilihat bahawa ada perjanjian-perjanjian yang telah dilakukan.

“…dan ia termaktub dalam perjanjian di dalam pemerintahan ketika itu yang kita berada di dalam kolonialisme,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Beliau ditanya media mengenai kenyataan Muhammad Sanusi pada Isnin lalu apabila mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Menurut laporan, Sanusi dipetik berkata, Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Malah, kata beliau, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri berkenaan kerana Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid sekali menegaskan, hanya orang yang buta sejarah sahaja membangkitkan perkara tersebut.

Menjelaskan mengenai perkara itu, beliau berkata, biar pun pada ketika ini kerajaan menolak kolonialisme namun perjanjian itu diterjemahkam dalam Suruhanjaya Cobbold bagi pembentukan sebuah (Persekutuan) Tanah Melayu yang wujud pemimpin-pemimpin Melayu bersekutu, negeri-negeri selat serta negeri-negeri yang tidak bersekutu.

Ketika ditanya mengenai kaji selidik Endeavour-MGC yang mendapati sebanyak 52 peratus responden Melayu dan 46 peratus responden semua kaum tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Perpaduan menangani isu inflasi dan kos sara hidup, beliau berkata, ruang mesti diberikan kepada kerajaan untuk memperlihatkan prestasinya.

Katanya, tidak adil untuk melemparkan mengenai soal prestasi terhadap kerajan yang baru tujuh bulan terbentuk. – MalaysiaGazette