Lawatan kerja delegasi Kerajaan Pahang ke Mesir sejak Isnin lalu mencatat sejarah tersendiri selain menerima liputan media tempatan.

KUANTAN – Lawatan kerja delegasi Kerajaan Pahang ke Mesir sejak Isnin lalu mencatat sejarah tersendiri selain menerima liputan media tempatan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, media Mesir hari ini melaporkan lawatan rombongan kerajaan negeri menerusi akhbar dan portal di negara berkenaan yang memuji kerjasama yang dijalinkan.

”Antara media yang melaporkan perkembangan lawatan kerja Pahang dan usaha sama yang terjalin dalam Bahasa Arab itu ialah Pusat Media Universiti Al-Azhar, media Al-Balad dan surat khabar Perdana Mesir, Al-Jumhuriah.

”Media Mesir melaporkan kunjungan Pahang disambut Rektor Universiti Al-Azhar, Prof Dr Salamah Daud,” katanya.

Laporan tersebut berkaitan memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Al-Azhar dan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dalam lapangan keilmuan, penyelidikan, pertukaran kemahiran serta kepakaran akademik, peningkatan dalam kajian saintifik termasuk pertukaran pelajar di peringkat pengajian tinggi.

Selain itu, media Mesir melaporkan mahasiswa Malaysia yang menuntut di Al-Azhar secara tidak langsung menjadi wakil Mesir apabila mereka apabila pulang kembali berkhidmat di tanah air kelak.

Menurutnya, laporan tersebut turut menekankan institusi tersebut bermanhaj sederhana dalam segala lapangan kepada semua penuntut termasuk penuntut Malaysia.

Delegasi kerajaan negeri memulakan lawatan kerja rasmi bermula 29 Mei sehingga 2 Jun ini antara lain berkunjung ke Kaherah dan Jordan.

Menerusi lawatan kerja ke Mesir itu, rombongan berkenaan telah bekesempatan mengadakan pertemuan dengan Mufti Agung Mesir, Shawki Allam di Dar Iftar Al Masriyah di Kaherah di samping bertemu dengan pelajar yang menuntut di sana.

Lawatan itu disertai Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Othman, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaakob, Exco Kerajaan Negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, dan Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.- MalaysiaGazette