KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempelawa penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus menyertai forum di Perlis.
Jemputan itu sebagai ruang dialog bagi Ustaz Azhar Idrus menjawab tuduhannya bahawa Perkampungan Sunnah yang selesai berlangsung baru-baru ini di negeri berkenaan sebagai sesat.
“Perkampungan Sunnah ini dia (Ustaz Azhar Idrus) kata antaranya puak ini menghina Imam Nawawi. Di Perlis ini, silibus Imam Nawawi diajar, berapa banyak fatwa kita menyebut Imam Nawawi tapi boleh pula dia kata kita hina, kita sesatkan Imam Nawawi dan para ulama,” katanya dalam hantaran video di laman Promedia Tajdid, hari ini.
Jelasnya, beliau sanggup meletak jawatan sebagai Mufti Perlis serta-merta sekiranya Ustaz Azhar Idrus mampu memberi hujah atas dakwaannya itu.
“Kalau dia boleh buktikan dalam Perkampungan Sunnah itu ada hina Imam Nawawi atau mana-mana ceramah saya ada potongan menghina Imam Nawawi atau pun di dalam tulisan serta dalam fatwa Perlis menghina Imam Nawawi, dalam masa 24 jam saya letak jawatan sebagai Mufti Perlis,” ujarnya.
Menurut Mohd Asri, seandainya tuduhan berkenaan gagal dibuktikan, ini bermakna ustaz Azhar Idrus adalah seorang lelaki yang hanya menaburkan fitnah terhadap masyarakat Islam lain.
Sehubungan itu, beliau berharap pelawaan tersebut disambut baik oleh UAI kerana pendakwah itu merupakan seorang tokoh yang tentunya berani untuk tampil berdialog.
Terdahulu, Ustaz Azhar Idrus mengeluarkan kenyataan mengenai Perkampungan Sunnah dengan mendakwa ia satu program sesat kerana menghina para ulama termasuk Imam Nawawi.
Perkampungan Sunnah Siri Kelapan membawa tema ‘Membanteras Syirik, Menghapus Khurafat’ melabuhkan tirainya Ahad lalu selepas berlangsung selama tiga hari. – MalaysiaGazette