KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan bagi tujuan membiayai program tahunan mahasiswanya di negara itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kebajikan mahasiswa anak kelahiran Pahang yang merantau kerana melanjutkan pelajaran.
Beliau meluluskan peruntukan tersebut dan menyampaikan sumbangan sebanyak AS$100 setiap seorang bagi menampung perbelanjaan mereka pada pertemuan bersama mereka di Yarmouk, Jordan semalam ketika lawatan kerja rasmi di Mesir.
”Saya berkesempatan untuk bertemu dan beramah mesra dengan anak-anak Pahang yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan.
”Kami berharap sumbangan ini akan memberi manfaat kepada pelajar anak Pahang di Mesir,” katanya ketika dihuungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya lawatan tersebut diadakan selepas delegasi Kerajaan Negeri Pahang selesai mengadakan lawatan kerja dan bertemu dengan anak-anak Pahang di Universiti Al-Azhar, Mesir.
ARTIKEL BERKAITAN :
Pahang contohi pendekatan wasatiah Mesir
Hubungan Pahang, Universiti Al-Azhar kukuh sejak 2015 lagi – MB
350 anak Pahang diraikan di Kaherah
Kerjasama UnIPSAS, Universiti Al-Azhar jadi tumpuan media Mesir
Terdahulu Wan Rosdy meluluskan peruntukan RM25,000 untuk menambah baik kelengkapan Surau Syeikh Abdul Halim Mahmud, Kompleks Indera Mahkota di Hayy Asyir, Kaherah, Mesir.
Peruntukan tersebut diberikan untuk pembelian karpet dan peralatan siaraya di surau yang beroperasi sejak dari tahun 1996.
Surau bagi kegunaan pelajar itu mampu memuatkan sehingga 300 jemaah.
Selain itu kerajaan negeri juga turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Mahasiswi Islam Pahang dan RM10,000 lagi kepada Majlis Muafakat Anak-Anak Pahang Mesir. – MalaysiaGazette