TVET BMT
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Institusi pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu terus memainkan peranan melahirkan tenaga kerja yang cekap, berkemahiran dan menyumbang kepada pembangunan negara serta memenuhi keperluan pasaran pekerjaan era semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 serta era pendigitalan menuntut generasi muda mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu untuk bersaing di arena global.

“Kemahiran vokasional dan teknikal adalah kunci menjana tenaga kerja berkualiti dan mampu meningkatkan produktiviti dalam semua sektor ekonomi.

“Saya sedar akan amanah saya untuk menyediakan lebih banyak peluang pendidikan TVET agar dapat menggalakkan lebih ramai penyertaan dengan tawaran pilihan pembelajaran vokasional dan teknikal yang menarik serta mempunyai prospek masa depan yang cerah,” katanya dalam hantaran Facebook sempena sambutan Hari TVET Negara 2023, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan, agenda TVET adalah dekat di hatinya.

Ahmad Zahid memberitahu, potensi dan bakat belia mesti digilap agar menjadi lebih kreatif, inovatif dan produktif sekali gus menjana pendapatan yang mampu memangkin kehidupan mereka yang lebih bermakna.

“Saya mahu institusi TVET terus memainkan peranan melahirkan tenaga kerja yang cekap, berkemahiran dan menyumbang kepada pembangunan negara serta memenuhi keperluan pasaran pekerjaan era semasa.

“Bertemakan ‘TVET Pemangkin Pembentukan Malaysia MADANI’, Selamat Hari TVET Negara dan semoga dapat terus diperkasakan dalam usaha melahirkan generasi yang berkualiti dan kompetitif,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast