GEORGE TOWN – Tindakan sekumpulan nelayan warga Indonesia menceroboh perairan negara bagi aktiviti menangkap ikan digagalkan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang semalam.

Tangkapan jam 3.31 petang di 51 nautika barat daya Pulau Kendi itu dilakukan Kapal Maritim (KM) Burau semasa melakukan operasi Op Pertiwi di sekitar kawasan berkenaan.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat kru termasuk tekong warga Indonesia dalam bot tersebut.

“Kesemua mereka berusia lingkungan 23 hingga 42 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan yang sah untuk memasuki perairan negara.

“Kesemua kru kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki pas yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, turut dirampas 40 liter minyak diesel serta bot yang dinaiki bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka turut diiring ke jeti Limbungan Batu Maung untuk siasatan lanjut,” jelas beliau. – MalaysiaGazette