KUALA LUMPUR – Orang lain sepatutnya menjawab isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu terhadap Sabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Itu biar orang lain jawab,” katanya selepas merasmikan D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.
Beliau menyatakan ketika ditanya berhubung tindakan kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu yang menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meminta bayaran pampasan.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, mereka yang terbabit mungkin dipergunakan negara barat bagi menuntut kerajaan Malaysia membayar tuntutan yang tidak masuk akal.
Mereka menuntut bayaran sebanyak AS$16 bilion atau bersamaan RM73.46 bilion termasuk caj tuntutan daripada Malaysia. – MalaysiaGazette