Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pas tidak menghalang mana-mana pihak terutama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikon untuk menarik sokongan orang Melayu.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, siapa pun ikon mereka, namun parti-parti kerajaan itu diingatkan tidak menjadikan ia sebagai tiket untuk menyebarkan perkara palsu kepada rakyat.

“Saya rasa itu sebahagian proses demokrasi, mana-mana pihak sama ada PN mahupun PH-BN untuk menjalankan apa juga libat urus atau perbincangan dengan mana-mana pihak.

“Mereka nak jadikan siapa juga ikon, itu adalah hak mutlak mereka. Apa yang penting ialah kita tidak mengeluarkan perkara-perkara yang tidak betul atau palsu ke dalam masyarakat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kehadiran Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, Khamis depan.

Selain Anwar, PAU 2023 bakal mencipta sejarahnya tersendiri apabila ia akan turut dihadiri semua pimpinan tertinggi DAP termasuk 19 presiden parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Sebelum ini, suara Anwar kembali bergema di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sewaktu Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang menghimpunkan 19 parti yang mendukung kerajaan.

Kali terakhir Anwar berucap di Dewan Merdeka adalah pada PAU 1997 iaitu ketika beliau memegang jawatan Timbalan Presiden parti itu.

PAU 2023 akan diadakan pada 7 hingga 10 Jun ini di Pusat Dagangan Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette