KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu empat lelaki disyaki warga tempatan yang didakwa bertindak memukul seorang individu dipercayai gelandangan di kawasan bawah jambatan sekitar Pelabuhan Klang dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek dicari selepas pihaknya mengesan dua video kes pukul di Twitter semalam.

“Suspek dipercayai memukul seorang lelaki dipercayai gelandangan menggunakan pemukul besbol jenis besi di bawah jambatan Pelabuhan Klang serta berhampiran Lembah Beringin.

“Pada 12.02 tengah malam tadi, polis menerima satu laporan daripada wanita warga tempatan berumur 43 tahun mendakwa melihat klip video sama di Instagram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

“Setakat ini, polis sedang menjalankan usaha mengesan mangsa bagi mengetahui kejadian yang sebenar,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menyalurkannya kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette