Nud Cha Lin

KUALA LUMPUR – Nud Cha Lin A/P Verak berjaya mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila muncul Naib Johan dalam Pertandingan The 22nd Chinese-Bridge Chinese Language Proficiency Competition for Malaysian Universities Students yang berlangsung di Institut Kong Zi, Universiti Malaya.

Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) berkata, pertandingan ini memberi peluang kepadanya untuk menunjukkan bakat dan kemahiran dalam bahasa Mandarin melalui pelbagai aspek seperti kuiz, pertandingan syarahan serta pertandingan bakat.

“Acara ini membolehkan peserta memperlihatkan kemampuan masing-masing dalam berkomunikasi, memahami dan menggunakkan bahasa Mandarin dengan lancar dan tepat.

“Ini membolehkan peserta dari pelbagai universiti menunjukkan kemahiran masing-masing, memperluas pengetahuan tentang budaya China, dan menjalin hubungan dengan kawan-kawan dari latar belakang yang berbeza,” katanya.

Menurutnya, cabaran dalam pertandingan ini termasuk mempelajari dan menguasai bahasa Mandarin dengan baik, menghadapi tekanan dan persaingan dengan peserta lain yang mahir dalam bahasa tersebut. Pertandingan ini merupakan acara penting dan berimpak di mana peserta diuji dalam berbagai aspek.

“Pengalaman belajar dalam kelas dengan Huang laoshi dan berinteraksi dengan kawan-kawan berbangsa Cina membantu saya untuk lancar berbahasa Mandarin.

“Pendekatan ini memberikan kombinasi yang baik antara pengajaran formal dan praktik dalam kehidupan seharian, membolehkan saya untuk meningkatkan kefasihan dan meningkatkan kemahiran bahasa Mandarin,” ujarnya.

Gadis berketurunan Siam itu berjaya memasuki pusingan akhir daripada jumlah 66 peserta akhirnya berjaya mendapat tempat kedua daripada 20 peserta yang mewakili 11 buah universiti.

Pertandingan anjuran Institut Kong Zi, Universiti Malaya dan Kedutaan Republik Rakyat China ini terbuka kepada peserta yang bukan penutur jati Bahasa Mandarin yang dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu penguasaan Bahasa Mandarin dan kemahiran budaya Cina.

Kejayaan ini melayakkannya membawa pulang wang tunai RM350, trofi, cenderamata dan lebih mengujakan berpeluang melawat ke negara China untuk menyaksikan Pertandingan The 22nd Chinese-Bridge Chinese Language Proficiency Competition for Malaysian Universities Students pusingan akhir peringkat dunia yang bakal diadakan pada September nanti di Hunan, China.

“Kemenangan ini memang di luar jangkaan dan semestinya saya sangat gembira dan bersemangat hasildedikasi, usaha tanpa mengenal erti jemu serta sokongan fasilitator dan rakan-rakan dalam mempersiapkan diri untuk pertandingan.

“Saya bakal menjejakkan kaki ke China semestinya sangat gembira dan berharap perjalanan ke China akan memberi inspirasi baru dalam memperluas pengetahuan serta pemahaman tentang budaya dan Bahasa Mandarin,” kongsi anak jati Jitra, Kedah.

Penguasaan Bahasa Mandarin sejak dari kecil memberi satu kelebihan justeru tidak dinafikan Bahasa yang ditampilkan memang padu dari segi komunikasi dan sebutan.

“Kemahiran berbahasa ini bermula sejak di bangku sekolah memandangkan keluarga amat menitikberatkan kepentingan menguasai banyak Bahasa. Dari situ menyuntik motivasi untuk belajar bahasa ini apatah lagi sebagai satu bonus yang dapat memberi manfaat dalam kehidupan.

“Saya ingin merakamkan dedikasi yang tidak terhingga kepada ayah, Verak A/L Prasid, yang memberikan sokongan tidak berbelah bagi. Dengan kesabaran dan dorongan yang tidak pernah pudar, ayah telah menjadi sumber inspirasi dan segala pengorbanan yang ayah lakukan untuk memastikan saya memperoleh penguasaan yang baik dalam bahasa Mandarin dan akademik,” ujarnya.

Sementara itu, Prof. Dr. Shukri Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) berkata, pertandingan tersebut menggalakkan pelajar untuk bertutur dalam Bahasa Mandarin memandangkan penggunaan Bahasa Mandarin semakin penting pada masa kini.

“Peluang menyertai pertandingan ini juga memberikan pengalaman yang amat berharga sekali gus dapat membantu dalam meningkatkan tahap keyakinan diri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast