Lim Kit Siang.- foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mengucapkan tahniah kepada beliau atas penerimaan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Jelas Kit Siang, beliau lebih suka untuk disapa Kit biarpun telah menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

“Terima kasih semua atas ucapan tahniah. Saya masih lebih suka semua orang memanggil saya Kit sahaja,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Kit Siang antara 839 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul mendahului senarai penerima dengan dikurniakan darjah kebesaran PSM yang membawa gelaran Tan Sri.

Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan bekas Menteri Luar, Senator Datuk Seri Anifah Aman. – MalaysiaGazette