Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama pihak berkuasa negara terbabit menyelamat dan membawa pulang 249 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.

Ketua Penolong Pengarah D3, Senior Asisten Komisioner, Fadil Marsus berkata, sebanyak 238 laporan polis diterima Bukit Aman membabitkan 356 mangsa yang terperangkap dan dieksploitasi sindiket berkenaan untuk bekerja di negara-negara terlibat.

Katanya, bagaimanapun terdapat 107 mangsa yang terkandas dan menunggu masa untuk dibawa pulang ke tanah air.

“Setakat ini, Bahagian D3 yang mengetuai Task Force di peringkat PDRM dengan Kementerian Luar Negeri (KLN) berjaya melaksanakan beberapa operasi termasuklah melakukan serbuan di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan, Johor, dan Perak,” katanya menerusi rakaman video di Facebook JSJ PDRM, semalam.

Menurut Fadil, ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa akibat tertarik dengan tawaran yang dijanjikan daripada majikan luar negara.

“Polis ingin menasihati rakyat kita agar jika anda terima sebarang tawaran kerja di luar negara, sila melakukan semakan dahulu tanpa terburu-buru, selain pastikan syarikat tersebut adalah sahih.

“Pastikan perjalanan anda untuk ke luar negara menggunakan cara dan pintu perjalanan (sempadan) yang sah kerana sindiket penipuan lazimnya akan mengarahkan anda menggunakan pintu tidak sah untuk ke luar negara,” ujarnya.

Sementara itum seorangf mangsa penipuan sindiket tersebut yang gtidak mahu dikenali memberitahu, beliau terpengaruh dengan tawaran peluang kerja di luar negara yang tidak memerlukan pengalaman, cuma perlu rajin.

“Mereka menjanjikan gaji yang tinggi, komisyen serta ditanggung perjalanan kapal terbang pergi dan balik (keluar masuk negara), cuti yang banyak makan serta tidur juga percuma,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast