Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Latar belakang pendidikan semata-mata tidak seharusnya menjadi ukuran kemampuan seseorang Exco di negeri ini untuk menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Ketua Pemuda UMNO merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, setiap barisan Exco dilantik mempunyai cara dan kelebihan tersendiri untuk memperkasa portfolio masing-masing.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, desakan pihak tertentu yang meminta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem digantikan dengannya kerana isu kerosakan lif adalah tidak wajar.

“Saya percaya, YB (Yang Berhormat) Hee Sem ada kelebihan dan caranya untuk tangani masalah ini dan berilah ruang serta peluang kepadanya untuk berkarya di bawah portfolio itu yang baharu dipegang tiga bulan lalu.

“Tak semestinya nak jadi Exco Kesihatan, kena ada latar belakang kesihatan seperti KJ (bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar) dulu pun bukan doktor perubatan tapi alhamdulillah beliau cemerlang.

“Malah banyak juga menteri-menteri kita yang bukan dalam portfolio jawatan dipegang tapi berjaya, lagi pun Hee Sem baru berapa bulan dilantik dan kena bagi masa untuk beliau tunjuk kebolehannya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Tangkap layar video tular menunjukkan beberapa kakitangan kesihatan bertungkus-lumus membantu seorang pesakit dibawa menggunakan pengusung katil menuruni tangga susulan kerosakan lif di sebuah hospital di Melaka.

Semalam, MalaysiaGazette melapokan Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka, Dr Mohd Aleef mendesak Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merombak semula jawatan Exco Kesihatan yang kini dipegang ADUN Machap itu.

Menurutnya, ini kerana Ngwe Hee Sem tidak mempunyai kelulusan setara dengan tanggungjawab itu menyebabkan beliau kurang memahami masalah sektor kesihatan awam di Melaka berbanding bekas Exco sama sebelum ini, Dr Akmal yang mempunyai mempunyai latar belakang doktor perubatan.

Gesaan itu tercetus susulan tular klip video memaparkan seorang pesakit terpaksa dibawa turun menggunakan tangga berikutan kerosakan lif di Hospital Melaka yang disifatkannya memalukan kerana fasiliti sedia ada jauh ketinggalan berbanding kemajuan negara pada hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, portfolio kesihatan juga berbeza dengan sektor lain kerana kebanyakan bidang kuasanya ditentukan di peringkat Kerajaan Persekutuan berbanding negeri.

“Jadi keterbatasan bidang kuasa itu kadang-kadang sedikit menyukarkan sebab itu waktu saya menjadi Exco Kesihatan Melaka dulu, kerap kali saya maklumkan bidang kesihatan ini adalah perkara penting agar Kerajaan Persekutuan dapat lihat perkara ini dengan lebih khusus.

“Untuk buat sesuatu perkara dalam sektor kesihatan ini, ia memerlukan keazaman yang kuat dan bajet yang sangat besar dan saya percaya bila sampai masanya, Exco kita ini mampu melaksanakan tugasnya dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette.

2 Komen

  1. yg luluskan kos pembaikan lif tu kerajaan persekutuan kan. pergi la tekan menteri kewangan . jangan tekan orang yg tak cukup kuasa.

Comments are closed.