Tertuduh, Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Darmafikri Abu Adam di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.

MELAKA – Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan isterinya parah dan melakukan ugutan bunuh yang dikatakan berpunca daripada tolakan untuk melakukan hubungan seks.

Tertuduh, Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah terhadap isterinya, Rabiatul Adawiyah Abu Hassan, 33, dengan cara menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini, pada kira-kira pukul 10 pagi 12 Februari lalu.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menakutkan mangsa sama secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas tertuduh marah apabila isterinya itu menolak ajakan untuk melakukan hubungan seks.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin, memohon tertuduh tidak dibenarkan jaminan pertuduhan menyebabkan cedera parah namun mencadangkan RM20,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Pihak pendakwaan turut memohon syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap bulan di balai polis berdekatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh diwakili peguam Ishak Mohd. Kari bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana anak guamnya baharu sahaja mendapat tawaran sebagai mekanik pada 1 Jun lalu dengan gaji asas RM2,000 sebulan.

Tambahnya, mangsa juga telah memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah Syariah dan sebahagian pendapatan perlu digunakan untuk memberikan nafkah kepada empat anak mereka berusia antara 10 tahun sehingga dua tahun.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 10 Julai depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.