SEPANG – Jemaah haji diharap memberikan tumpuan sepnuhnya kepada amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar berkata, jemaah yang mempunyai kemusykilan berkenaan hukum menunaikan haji disarankan supaya bertanya dengan para pembimbing ibadat Tabung Haji.

“Sekiranya mempunyai apa-apa kemusykilan hukum, bertanyalah kepada para pembimbing ibadat Tabung Haji bagi memastikan amalan yang dilakukan adalah betul dan sempurna.

“Para jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan diri serta sentiasa memakai gelang dan kad pengenalan diri yang dibekalkan oleh Tabung Haji supaya mudah dikenalpasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Semoga para dhuyufurrahman semua dikurniakan haji yang mabrur, insha-allah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada 355 Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim 1444H/ 2023M.

Katanya, setakat hari ini, seramai lebih 19,000 jemaah Haji Malaysia telah selamat sampai dan berada di Tanah Suci.

“Pada petang ini, seramai 355 orang bakal haji akan berlepas ke Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah dan ini merupakan penerbangan haji yang ke-66,” ujarnya.

Pada musim Haji 1444H , Tabung Haji mengurus lebih 31,000  jemaah yang merupakan kuota penuh rasmi negara menerusi 98 penerbangan sewa khas haji terus ke Tanah Suci, bermula 21 Mei lalu hingga 21 Jun 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast