PAU 2023 diadakan selang lebih empat bulan dengan PAU 2022 yang berlangsung Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Selang empat bulan 26 hari dengan Perhimpunan Agung UMNO 2022 – esok kira-kira 6,300 perwakilan dari seluruh negara termasuk Sabah akan berhimpun sekali lagi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Mereka berkumpul bagi mengikuti PAU 2023 iaitu pelengkap kepada persidangan yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

PAU 2022 berlangsung selama empat hari dari 11 hingga 14 Januari lalu manakala PAU 2023 juga selama empat hari dari 7 hingga 10 Jun ini.

PAU esok akan dimulakan dengan taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Merdeka, WTC pada pukul 2.30 petang.

Kemudian pada  8 malam pula perasmian Perhimpunan Agung tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka Aras 4, 5, 6 WTC oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Perwakilan tiga sayap yang dijangka hadir esok ialah Wanita 1,159 orang, Pemuda (1,160) dan Puteri (1,134).

Hari kedua iaitu Khamis, tiga sayap masing-masing bersidang bermula 8 pagi dengan Wanita di Dewan Merdeka Aras 4 diikuti Pemuda di Dewan Tun Razak Aras 4 dan Puteri UMNO di Dewan Tun Hussein Onn Aras 2 serta Dewan Tun Dr. Ismail Aras 2 WTC.

Pada sebelah malam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas UMNO akan bermesyuarat di bilik mesyuarat tingkat 39 Menara Dato’ Onn.

Acara kemuncak PAU 2023 ialah pada Jumaat iaitu menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ pada 8 pagi di Plaza Merdeka, Aras 4 WTC oleh Ahmad Zahid dan semua barisan kepimpinan parti.

Presiden UMNO kemudian ke Dewan Merdeka untuk acara pembukaan PAU 2023 pada pukul 9 pagi.

Hari terakhir iaitu 10 Jun, persidangan bermula 8.30 pagi dengan perbahasan usul ucapan dasar Presiden dan perhimpunan dijangka berakhir kira-kira 5 petang.

Sebanyak 56 agensi media dari media cetak dan elekronik iaitu 50 agensi tempatan dan enam agensi antarabangsa melibatkan 458 petugas media telah berdaftar untuk membuat liputan sepanjang perhimpunan itu.

Perhimpunan itu turut dimeriahkan dengan karnival jualan di Ruang Legar Aras 2, WTC yang mula beroperasi esok, 7 Jun. – MalaysiaGazette