Wan Azlan Wan Mamat. Foto MOHD ADZLAN, 22 OGOS 2022.

SUBANG – Seorang pelanggan lelaki mengamuk dan membaling bungkusan makanan dan air minuman panas yang dibelinya, gara-gara berang dengan pekerja restoran yang memanggilnya pak cik.

Difahamkan suspek sebelum itu telah meminta pekerja berkenaan memanggilnya abang atau baby.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tindakan pekerja berkenaan memanggilnya pak cik menyebabkan lelaki itu berang dan mengamuk.

Lelaki itu membaling makanan serta minuman panas lalu terkena seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

Pemilik restoran membuat laporan polis selepas video yang memaparkan insiden itu tular di media sosial.

Pengadu mendakwa lelaki tersebut bertindak agresif dengan menjerit memaki hamun dan mengugut akan merosakkan harta benda serta membuat kacau di kedai.

Dia juga telah membaling beberapa biji kerusi dalam kedai dan juga menendang meja kedai beberapa kali sehingga mendatangkan ketakutan dan gangguan kepada pelanggan lain yang berada di dalam restoran.

Polis sedang menjalankan siasatan berkenaan insiden ini di bawah Seksyen 506 / 352 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau denda atau dengan kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.

Wan Azlan berkata, polis telah memperhebatkan usaha mengesan dan menangkap suspek lelaki tersebut.

Orang ramai yang pernah mengetahui lelaki berkenaan diminta menghubungi talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat Inspektor Dinesh Ganasan di talian 011-33094457. – MalaysiaGazette