Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak semakan kehakiman yang dikemukakan bekas Menteri, Datuk Zuraida Kamaruddin agar beliau diiktiraf secara rasmi sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh yang membuat ketetapan itu memutuskan mahkamah tidak mempunyai kuasa dalam permohonan bekas Ahli Parlimen Ampang itu.

Menurutnya, kehakiman tidak mempunyai kuasa untuk melihat isu melibatkan hal ehwal parti selaras dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Kata Amarjeet, mahkamah juga terikat dengan ketetapan yang dibuat oleh mahkamah tertinggi (Mahkamah Rayuan) sebelum ini. 

Keputusan itu menyebabkan mahkamah tidak akan mendengar merit semakan kehakiman yang dimohon Zuraida pada prosiding hari ini.

Sebelum ini, Pejabat Peguam Negara membantah permohonan kebenaran Zuraida dengan alasan Seksyen 18C Akta Pertubuhan menetapkan bahawa keputusan berkaitan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mahkamah.

Pada 24 Mac lalu, bekas Naib Presiden PKR itu memfailkan permohonan kebenaran itu dengan menamakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai responden tunggal, memohon pengisytiharan bahawa tindakan RoS mengekalkan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shen sebagai Presiden PBM adalah tidak sah.

Zuraida juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan RoS mengiktiraf beliau sebagai Presiden PBM berkuatkuasa 7 Oktober 2022.

Zuraida mendakwa beliau menerima surat daripada PBM pada 27 Oktober 2022 memaklumkan pelantikannya sebagai Presiden PBM.

Namun Larry kemudian mengisytiharkan beliau sebagai presiden PBM dan menggantung keahlian Zuraida. – MalaysiaGazette