Datuk Zawawi Othman

KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan telah mencapai kata sepakat dengan rakan gabungannya, Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding sekurang-kurangnya 31 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perkara itu dinyatakan Ketua Penerangannya, Datuk Zawawi Othman selepas kata putus itu mencapai persetujuan dengan PH hanya meletakkan calon bertanding di 14 kerusi DUN.

Kata beliau, pembahagian kerusi itu dibuat UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan PH Kelantan dalam mesyuarat minggu lalu.

“Kita telah mencapai kata sepakat mengenai pembahagian 45 kerusi DUN di Kelantan, yang mana UMNO dan BN akan bertanding di 31 kerusi, manakala selebihnya ditandingi PH.

“Tidak ada masalah timbul dalam pembahagian kerusi ini. Masing-masing bersetuju dengan jumlah yang diputuskan,” katanya kepada media di Kota Bharu, semalam.

Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 dijangka diadakan selewat-lewatnya bulan depan selepas tempoh penggal PRU14 berakhir 28 Jun ini.

Bagaimanapun, pada PRU15 November tahun lalu, enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang membuat keputusan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Menurut Zawawi, dalam pembahagian itu, ada kawasan Parlimen diberikan satu dan dua kerusi kepada PH, manakala UMNO dan BN bertanding di semua kerusi DUN bagi satu-satu kawasan.

Ini katanya, menunjukkan kerjasama antara BN dan PH berjalan lancar kerana dalam pembahagian kerusi itu tidak ada sebarang bantahan. – MalaysiaGazette