Mohd Yusoff Mahadi

PETALING JAYA – Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk menawarkan tiket kombo RM70 bagi kejohanan Pestabola Merdeka yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 hingga 17 Oktober ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, perkara itu telah diputuskan pada Mesyuarat Kelapan Jawatankuasa Eksekutif FAM yang diadakan di Wisma FAM semalam.

“Kita akan jual tiket dengan harga kombo bernilai RM70 bagi kategori terbuka untuk dua hari perlawanan (14 dan 17 Okt), namun penjualan itu ada tempoh masa iaitu pada 1 hingga 5 Ogos sahaja menerusi www.tickethotline.com.my,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di sini.

Beliau berkata, harga tiket bagi kategori terbuka untuk dewasa ialah RM40, kanak-kanak RM5 manakala RM60 untuk grandstand dan RM80 bagi kategori premium.

Mohd Yusoff turut mengesahkan penyertaan India, Palestin dan Lubnan selain Malaysia dalam kejohanan yang kali terakhir diadakan pada 2013 itu.

Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin turut bersetuju untuk memilih logo baharu bagi menggantikan logo lama.

Pada Mac lepas, Hamidin mengumumkan kejohanan berkenaan akan diadakan semula selepas 10 tahun tidak dianjurkan.

Menurut Hamidin, perlawanan itu sekali gus menjadi platform untuk menguji penggunaan rumput baharu jenis Zeon Zoysia di gelanggang keramat Harimau Malaya itu. – Bernama