Gambar hiasan

BUMI kita kini kian uzur. Tanpa disedari, kita telah disapa dengan pelbagai bencana alam yang berlaku sama ada di Malaysia ataupun dunia.  Lebih menyedihkan lagi, bencana tersebut telah menyebabkan pelbagai kemusnahan serta kehilangan nyawa sama ada manusia, haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan. Ia secara langsung telah menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat kerana kehilangan rumah, kenderaan, ternakan dan tanaman, malah sumber pendapatan. Bencana banjir, tanah runtuh, pencemaran air dan udara serta banyak lagi kemusnahan alam sekitar merupakan bukti kerakusan manusia dalam mengejar pembangunan arus pemodenan. Kegagalan mengurus, tiadanya sikap tanggungjawab dan kurangnya kesedaran menjaga alam sekitar adalah sebahagian faktor manusia yang mengabaikan kelestarian anugerah terindah ini. Sampai bilakah episod tragis bencana alam ini akan berakhir?

Aktiviti melestarikan bumi perlu sentiasa diperkukuh dan dipertingkatkan untuk menjamin kesejahteraan bumi. Pelbagai aktiviti yang merosakkan bumi menjejaskan kelestarian bumi dan mengancam keadaan bumi menjadi lebih buruk. Sejajar dengan kempen untuk mempertingkatkan kelestarian bumi ini, Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun bertujuan untuk menggalakkan manusia supaya lebih prihatin dan peduli untuk bersama-sama berganding bahu menjaga kelestarian bumi dan membebaskan bumi dari segala bentuk pencemaran. Salah satu amalan yang dapat dipraktikkan dalam merealisasikan aspirasi ‘bumi hijau’ ini adalah melalui aktiviti berkebun. Hal ini dapat membantu proses membaikpulih dan merawat bumi sekali gus mendatangkan pelbagai manfaat. Antara manfaat yang dapat diperoleh melalui aktiviti berkebun adalah ianya dapat menjadi terapi, menjimatkan wang, sumber makanan harian, penjagaan kesihatan, dan meningkatkan kreativiti.

Berkebun merupakan aktiviti yang sangat baik untuk dilakukan oleh setiap individu. Aktiviti bercucuk tanam ini menjadi satu kegiatan yang dapat dijadikan terapi pada setiap individu yang melakukan aktiviti ini. Hal ini diperjelaskan oleh Jason Strauss yang merupakan seorang pakar kesihatan di Fakulti Perubatan Harvard. Beliau menyatakan bahawa aktiviti yang melibatkan interaksi dengan tumbuh-tumbuhan akan membuahkan manfaat terapeutik yang melahirkan rasa ketenangan, mengurangkan hormon stres kortisol dan merendahkan tekanan darah. Aktiviti berkebun dapat memberikan konsentrasi tinggi menikmati kehijauan pokok dan mencetuskan rasa tenang serta meleraikan rasa ketidaktenteraman yang ada dalam jiwa.

Selain itu, aktiviti berkebun dapat menyokong ekonomi keluarga dengan mengurangkan perbelanjaan terhadap pembelian sayur-sayuran. Amalan menanam sayur-sayuran seperti sawi, kailan, tomato, bendi, kacang panjang, terung, timun, ulam-ulaman seperti pegaga, ulam raja dan sebagainya dapat memberi kepuasan untuk menikmati hasil berkebun. Hal ini kerana, harga sayur juga didapati mahal dan ada kalanya sayur yang dibekalkan pekedai tidak segar. Oleh itu, aktiviti berkebun dapat membantu untuk menjimatkan perbelanjaan harian. Malah, sayur-sayuran yang dihasilkan adalah lebih selamat dan sihat serta bebas daripada penggunaan racun rumpai yang berbahaya. Pada masa yang sama, individu turut berpeluang menikmati sayur yang segar dipetik untuk disediakan sebagai menu makanan harian. Hal ini sekali gus membawa pangamalan hidup sihat dan meningkatkan kualiti hidup sekeluarga.

Tambahan itu, aktiviti berkebun yang dilakukan dalam skala yang besar turut menjadi sumber pendapatan keluarga dan menjana ekonomi negara. Sumber makanan yang dituai dari kebun yang diusahakan sendiri dapat membuahkan hasil yang cukup lumayan malah dapat menikmati sayuran dan ulaman segar. Sektor pertanian di Malaysia kini harus diremajakan dan dibangunkan sebagai sektor moden, berdaya saing dan komersial. Malah, kerajaan sendiri telah mengeluarkan banyak dana yang diperuntukkan bagi mengembangkan sektor pertanian. Hal ini kerana, sektor pertanian merupakan pembekal sumber makanan utama kepada seluruh penduduk negara. Kemajuan sesebuah negara juga dinilai dari segi kecukupan dan keselamatan makanan sebagai asas kepada negara maju. ‘Sambil menyelam, minum air’. Begitulah perumpamaan yang sesuai digambarkan dalam situasi ini.

Di samping itu, aktiviti berkebun dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan diri dan keluarga melalui penanaman tumbuhan herba. Penanaman tumbuhan herba seperti pokok misai kucing, selasih, bidara, hempedu bumi, mas cotek, mengkudu dan pegaga merupakan antara tanaman herba yang dapat merawat penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya secara tradisional. Justeru, penanaman pokok herba ini dapat mambantu individu mengamalkan rawatan alami untuk merawat penyakit kronik. Malah, manfaat tumbuhan herba, khususnya dalam perubatan, serta makanan dan wangian sudah terbukti melalui kajian saintifik yang dilakukan oleh penyelidik tempatan mahu pun luar negara.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini juga sedang giat menjalankan kajian-kajian berkaitan manfaat tumbuhan herba ini. Kajian yang dijalankan kepada penduduk Zon Biru atau juga dikenali sebagai Blue Zones, yang merupakan kawasan di mana penduduknya mempunyai umur yang panjang berbanding purata umur pendudukdunia telah mendapati resepi rahsia disebalik ini adalah disebabkan oleh amalan pemakanan penduduknya yang mengambil sekitar 95% makanan harian mereka adalah berasaskan tumbuh-tumbuhan. Makanan lain seperti daging pula hanya diambil dengan purata lima kali dalam tempoh sebulan.

Aktiviti berkebun juga dapat meningkatkan kreativiti menerusi perancangan untuk menyusun atur landskap dan memilih tanaman yang sesuai untuk ditanam berdasarkan kategori tanaman yang ditanam seperti tanaman herba, bunga, sayur-sayuran dan buah-buahan. Kreativiti penyusunan landskap juga dapat mencantikkan laman rumah dan memberi elemen kehijauan dan warna-warni tanaman yang menjadi penyeri rumah kediaman. Malah dapat memberikan unsur ketenangan dan kedamaian di kawasan rumah. Sementelahan itu, bagi mereka yang menetap di kawasan rumah
yang tidak mempunyai ruang tanah yang luas untuk berkebun, penanaman secara hortikultur dapat dilakukan sebagai inisiatif aktiviti berkebun dalam menghijaukan persekitaran rumah.

Secara amnya, aktiviti berkebun ini merupakan aktiviti mudah untuk diamalkan. Namun, ianya sarat dengan pelbagai manfaat dalam melestarikan bumi hijau kita. Siapa lagi yang bertanggungjawab dan harus menjaga bumi tercinta ini, kalau bukan kita sendiri yang merupakan generasi pewaris masa hadapan. Kelestarian alam sekitar perlu menjadi keutamaan semua pihak supaya musibah dan bencana alam dapat dibendung. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Pensyarah Kanan Program Kaunseling
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast