Romel Morales. Foto Facebook Kuala Lumpur City.

UALA LUMPUR – Usaha pasukan Kuala Lumpur City (KL City) FC untuk menjadikan pemain importnya Romel Morales sebagai pemain naturalisasi setakat ini berjalan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif KL City Stanley Bernard berkata, pihak pengurusan kelab berkenaan sedang giat berusaha untuk memastikan taraf kerakyatan dan status ‘anak tempatan’ buat pemain kelahiran Colombia itu diperoleh dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Stanley berkata, pemain berusia 26 tahun itu masih belum mematuhi tempoh matang untuk didaftarkan sebagai pemain naturalisasi seperti yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Apa yang mengecewakan kami adalah kita tidak dapat mendaftarkann Morales sebagai pemain tempatan walaupun dia berjaya dapat kad pengenalan sebelum tarikh pendaftaran kedua Liga Malaysia bermula, 5 Julai depan.

“Itu adalah peraturan ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tetapi saya boleh katakan Morales sedang dalam proses untuk menjadi pemain naturalisasi nanti,” katanya pada sidang media KLFA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini hari ini.

Sekiranya, pemain berusia 26 tahun itu mendapat status pemain naturalisasi, beliau berpeluang untuk berada dalam skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon yang akan membuat penampilan pada Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan.

Pada masa ini, Harimau Malaya mempunyai beberapa pemain naturalisasi antaranya Mohamadou Sumareh, Endrick Dos Santos, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) selain tiga lagi pemain Sergio Aguero (Sri Pahang), Lee Tuck (Kedah) dan Paulo Josue (KL City).

Pada Jun tahun lepas, skuad Harimau Malaya layak secara merit ke pentas Piala Asia itu buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan dan dua negara wakil Asia Barat, Jordan serta Bahrain.  – BERNAMA