Lee Jeng Loon (kiri) didakwa menjalani perniagaan pinjaman wang tidak berlesen di Mahkamah Sesyen George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Bapa kepada seorang cahaya mata mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen dua tahun lalu.

Lee Jeng Loon, 38, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Berdasarkan pertuduhan, dia dakwa menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah kepada seorang wanita berusia 41 tahun.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu  di sebuah premis di No. 114 Lebuh Nordin di sini, pada Mei 2021.

Jeng Loon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Peminjam Wang 1951 iaitu menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen.

Jika sabit kesalahan, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, boleh dikenakan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chew Qi Wei manakala tertuduh diwakili peguam, Hairul Alif Hairul Azam.

Qi Wei dalam hujahannya tidak menawarkan sebarang wang jaminan namun Hairul Alif memohon jaminan paling minimum atas alasan tertuduh merupakan warganegara yang sudah berkahwin.

Tambah beliau, jaminan adalah untuk memastikan anak guamannya hadir ke mahkamah bukan bertujuan untuk menghukum.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tiga syarat tambahan menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tiada boleh mendekati atau menganggu mangsa serta saksi kes sehingga kes selesai.

Tertuduh dibenar ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Menurut Mazdi, jaminan akan dibatalkan sekiranya tertuduh melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan.

Kes akan disebut semula pada 11 Julai depan.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Polis Pulau Pinang melancarkan operasi secara besar-besaran bagi memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau Ahlong.

ARTIKEL BERKIATAN

Operasi besar-besaran perangi sindiket ah long – Kok Chin

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, seramai 112 pegawai dan anggota yang  terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terlibat dalam operasi tersebut.

Selain itu, dalam laporan berasingan, Kok Chin juga dilaporkan menerima ugutan dan ancaman daripada sindiket ah long pada 1 Jun lalu.

Berdasarkan sampul dikirim itu, terdapat enam keping replika wang kertas ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran agar pihak polis kontinjen Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri terbabit.

PDRM buru ah long ugut Ketua Polis P. Pinang

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan pihak polis kini sedang memburu dalang yang melakukan ugutan tersebut selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengugut dan mengancam keselamatan pegawainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast