Bekas Pengerusi Tabung Haji yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir pada sebutan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2022.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 21 Ogos depan bagi keputusan rayuan oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kes saman fitnah terhadap Lim Guan Eng.

Tarikh itu ditetapkan ketika prosiding atas talian pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Norkamilah Aziz.

Abdul Azeez yang juga bekas Ahli Parlimen Baling membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak saman fitnahnya terhadap Guan Eng yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung projek terowong dasar laut di negeri berkenaan.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ketika itu menolak saman tersebut atas alasan Abdul Azeez gagal mengemukakan bukti dalam saman itu.

Mahkamah turut memerintahkan Abdul Azeez untuk membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng.

Abdul Azeez sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan Guan Eng dengan bayaran berjumlah RM3 juta sebagai bayaran perundingan kepada pemaju bagi projek itu.

Berikutan kenyataan itu, Guan Eng mendakwa kenyataan mendapat liputan meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan sehingga menyebabkan reputasinya tercalar. -MalaysiaGazette