KUALA LUMPUR – Seorang penunggang e-hailing yang melakukan aksi berbahaya ditahan polis di Kampung Cheras Baru, di sini, hari ini.

Rakaman video yang tular di laman media sosial memaparkan lelaki itu menunggang motosikal dengan duduk di atas kotak barang yang diletakkan di bahagian tempat duduk pembonceng tanpa memegang handle.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan polis mendapati suspek yang ditahan memiliki dua saman (waran tangkap) trafik.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah berjaya mengesan dan menahan suspek kira-kira jam 10.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penahanan suspek membawa kepada rampasan sebuah motosikal yang disyaki digunakan untuk melakukan aksi berbahaya itu.

Menurut Mohamad Farouk, ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati negatif dadah.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan membahayakan.

Sementara itu, Mohamad Farouk meminta pemilik akaun Twitter dan individu yang merakamkan kejadian tersebut datang ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348. -MalaysiaGazette