Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berucap ketika persidangan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Puteri UMNO perlu menjadi ‘game changer’ bukan hanya untuk parti tetapi juga untuk golongan wanita muda.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, terdapat tiga ‘take away’ yang penting untuk sayap parti itu laksanakan bagi berhadapan dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Tiga perkara berkenaan adalah Puteri perlu mengadakan program menarik untuk pengundi 18 tahun selain bekerjasama dalam bidang pendigitalan untuk menggerakkan kerja ketika berkempen.

“Sebagai persiapan menghadapi PRN, kepimpinan Puteri pusat, negeri, dan bahagian perlu berkolaborasi untuk mempersiapkan ahli-ahli Puteri dalam pendigitalan gerak kerja. Langkah ini penting dalam transformasi gerak kerja Puteri bersesuaian dengan revolusi industri IR4.0.

“Ketiga, kita akan mengadakan retreat Pergerakan Puteri UMNO ini bagi memastikan tekad wahdatul fikr dan wahdatul amal dalam kalangan kita terus mekar. Jadi, kita minta semua Puteri untuk bersedia,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Puteri UMNO bagi tahun 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam masa sama beliau turut menekankan pentingnya asas perpaduan demi kepentingan landasan politik pada hari ini.

“Kerana perpaduan, rakyat masih lagi harmoni hingga ke saat ini. Kerana perpaduan yang kita tunjukkan, kita adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Kekalkan perpaduan ini demi keharmonian. Perpaduan ini adalah kematangan dan kesungguhan kita untuk kebaikan rakyat, dan bukan kepentingan politik semata-mata,” tambahnya. – MalaysiaGazette