KUALA LUMPUR – Rundingan pengagihan kerusi antara parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya di enam negeri telah selesai 98 peratus.
Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, baki dua peratus kerusi akan diputuskan berdasarkan peluang kemenangan calon parti berkenaan.
“Secara umumnya, setiap negeri ada satu dua kerusi yang belum diputuskan dan keputusan akan dibuat berdasarkan calon yang dikemukakan parti,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurutnya, parti-parti juga belum memuktamadkan calon kerana ada yang mempunyai lebih daripada satu calon untuk dipertimbangkan di satu-satu kawasan
“PN akan mengadakan mesyuarat pengagihan kerusi sekali lagi pada 22 Jun,” katanya.
Dominic juga memberitahu bahawa Gerakan akan bertanding di empat negeri tetapi tidak bertarung di Terengganu dan Kelantan.
Katanya, hasil rundingan akan dipanjangkan dan dibincangkan di peringkat pusat.
“Sekiranya keputusan akhir tidak dapat dicapai, maka ia akan dikendalikan oleh majlis presiden,” katanya. – MalaysiaGazette