KUALA LUMPUR – UMNO masih parti yang sama yang berteraskan asas dan tujuan perjuangan yang dipertahan dan sentiasa disuburkan, demikian tegas Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Bagaimanapun beliau berkata, pola fikiran dan tindakan parti tersebut perlu diubah seiring dengan tuntutan politik matang.
“Kita jadikan keberadaan kita dalam Kerajaan Perpaduan ini sebagai peluang untuk kita belajar perkara baru, dan latih diri untuk perkemaskan perspektif politik kita.
“Kita juga berpeluang untuk bergaul dengan kelompok yang berbeza yang penuh dengan kepelbagaian dan sudut pandangan.
“Pelbagai tetapi tetap bersatu,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) KL.
Tambah beliau, keterbukaan UMNO pada kali ini tidak bermaksud parti itu meninggalkan jati diri yang selama ini diperjuangkan.
“Kita terbuka dan menerima dinamika politik selagi prinsip perjuangan kita tidak tergadai dan diperkotak-katikkan,” katanya lagi.
Menurut beliau, meskipun bakal mengambil masa untuk memahami bahawa parti itu perlu bekerjasama dengan Pakatan Harapan demi membentuk Kerajaan Perpaduan, namun semua ahli Puteri UMNO perlu meluaskan perspektif terhadap impak positif terhadap pembentukannya.
“Saya mengakui, kita perlukan masa untuk menghadami, dan memahami apakah hikmah keberadaan kita, dalam Kerajaan perpaduan. Adakah ini yang terbaik untuk kita, perjuangan parti dan rakyat?
“Perpaduan adalah teras kepada kerajaan ini, kerana perpaduanlah kita menjadi sebahagian daripada kerajaan. Demi kestabilan dan kepentingan rakyat kita sambut salam perpaduan, kita junjung perpaduan ini seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” tambah beliau.
Sementara itu, Nurul Amal menegaskan Puteri UMNO perlu fokus kepada 3P dan 3S untuk menggerakkan sayap parti itu dan menarik golongan muda.
3P berkenaan adalah Perpaduan, Perhebat dan Perkemas manakala 3S pula adalah Santun, Selaras dan Sebar.
“Terus jalankan peranan sebagai pemimpin muda. Jangan mudah hilang fokus dengan isu atau perkara yang remeh-temeh.
“Tumpu usaha untuk tarik golongan muda bersama kita, kerana Puteri perlu barisan pelapis yang subur dengan idea baru,” jelasnya.-MalaysiaGazette