KUALA LUMPUR – Kebimbangan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) kononnya undi yang diberi kepada Barisan Nasional (BN) bakal memperolehi DAP sebenarnya hanyalah satu zikir politik semata-mata.
Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata, persepsi itu bukan perkara baharu, bahkan Pas sendiri pernah mengalami fenomena itu ketika mempunyai kerjasama dengan DAP.
“Ikut mana pun macam itu adalah zikir politik, dulu pun kalau undi Pas dapat DAP, sama saja sekarang ini pun, orang kata undi BN dapat DAP. Tapi bagaimana kita nak supaya kefahaman masyarakat tentang isu ini kita nak neutralkan balik.
“Sebab itu perlu justifikasi kukuh. Siapa yang buat gerakan sebelum ini tentang bencana DAP?
“Kita juga yang buat. Saya rasa jelas, sekarang ini bila kita nak kerjasama, mesti ada asas,” katanya kepada pemberita di Laman Media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Menurut Fathul Bari, Islam tidak pernah melarang umatnya bekerjasama dengan musuh politik, sama juga keadaannya dengan tindakan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
“Islam tak larang kerjasama dengan musuh, kerana dinamika politik, siasah dalam Islam cukup luas,
“Jangan cakap bila Pas sahaja luas, bila kita sahaja tak boleh luas, kena sempit, tak boleh, itu tidak adil.
“Kena ada justifikasi kukuh, sekarang ini pemimpin kita cuba beri justifikasi, sama ada ia boleh diterima di peringkat bawah atau tidak, itu nombor dua, tapi kena bagi justifikasi
“Pada saya sebagai pemimpin kena bagi justifikasi yang boleh diterima, kalau tidak macam mana nak dapat sokongan,” katanya. – MalaysiaGazette