KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai Gabenor untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028.

Pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas tempoh jawatan gabenor sebelum ini iaitu Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus akan tamat pada 30 Jun 2023.

Menerusi satu kenyataan, lantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas dan prestasi Abdul Rasheed yang cemerlang semasa berkhidmat di bank.

Lembaga Pengarah yakin beliau akan memimpin bank untuk mencapai kejayaan lebih besar pada masa hadapan dan meneruskan tradisi kecemerlangan bank demi kepentingan negara.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed turut melahirkan ucapan terima kasih di atas pelantikannya.

“Pelantikan sebagai gabenor merupakan penghormatan kepada saya.

“Saya akan meneruskan dan pertingkat lagi usaha Gabenor Nor Shamsiah.

“Di bawah kepimpinan beliau, bank terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik,” katanya.

Jelas Abdul Rasheed lagi, Nor Shamsiah telah memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan bank pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan.

“Saya akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor,” ujarnya.

Untuk rekod, Abdul Rasheed mula berkhidmat di bank pada tahun 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada tahun 2016.

Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.

Beliau juga mempunyai MBA daripada Saïd Business School, Oxford University.

Sepanjang kerjayanya, Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan.

Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015. -MalaysiaGazette