Ashaari didakwa atas tiga pertuduhan termasuk cubaan bunuh kanak-kanak perempuan di Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan cubaan bunuh dan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada Mei lalu.

Tertuduh, Ashaari Othman, 71, mengaku bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dengan  cara memukul menggunakan kayu bersaiz 49 sentimeter (cm) di kawasan semak bersebelahan sebuah bengkel baiki kereta yang tidak bernombor di Kampung Permatang Keriang, Penaga di sini, pada 26 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dengan memasukan jari ke dalam kemaluannya pada hari sama antara jam 5 petang hingga 8 malam di Eco Park Pantai Robina di sini.

Tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dihadapkan terhadapnya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulhazmi tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Ashaari mengaku bersalah dihadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan atas kesalahan menculik kanak-kanak sama di Taman Kuala Muda, Penaga di sini, pada 26 Mei lalu.

Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan bersalah boleh dihukum penjara hingga tujuh dan didenda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani dan ketika prosiding beliau meminta tiada jaminan ditawarkan susulan bimbang tertuduh akan menimbulkan bahaya kepada mangsa kerana mangsa merupakan jiran tertuduh.

Rosnee kemudian menetapkan 11 Julai depan sebagai tarikh sebutan kes.

Artikel berkaitan: Anggota Rela direman bantu siasatan cederakan budak 5 tahun

Budak perempuan hilang lebih 24 jam masih trauma

MalaysiaGazette pada 28 Mei lalu melaporkan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan hampir 24 jam terungkai selepas dia ditemui dalam keadaan selamat di tepi jalan Permatang Keriang di sini

Mangsa berusia lima tahun itu ditemui orang awam jam 6 petang tadi kira-kira 2.4 kilometer dari lokasi rumahnya dalam keadaan tidak bermaya.

Dua hari selepas itu, polis menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan susulan pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan kecederaan berunsurkan jenayah ke atas kanak-kanak berkenaan. – MalaysiaGazette