Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta parti-parti sahabat dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengusik hati dan perasaan orang Melayu.

Timbalan Perdana Menteri itu juga menasihatkan mereka agar jangan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati parti rakan.

“Sementara kita melakukan penyesusaian politik berdasarkan realiti politik semasa, termasuklah dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan sejak 24 November tahun lalu, perkara pokok atau asas yang melibatkan soal Islam, Melayu dan bumiputera tidak pernah dicabar atau cuba dirobek oleh mana-mana rakan kongsi politik kita.

“Harapan saya, kesalingan yang terbentuk ini akan memadamkan kecurigaan sesama kita. ,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menasihatkan semua pemimpin dan ahli UMNO agar melakukan perkara yang sama terhadap parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

“Begitu juga dengan kita, elakkan tutur dan tindakan yang boleh mengundang resah sahabat dan rakan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menyatakan, sepanjang liku-liku penyesuaian politik yang dilalui UMNO, asas serta keindukan negara bangsa terus dipelihara dan terbela.

“Malah, ini jugalah prasyarat, yang diletakkan oleh UMNO dalam menjalin mana-mana kerjasama politik, termasuk berkongsi kuasa dengan semangat saling mempercayai antara satu sama lain,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) merupakan realiti politik yang rencamnya lebih rumit kerana ia melibatkan penyertaaan 19 parti komponen.

“Namun, kepelbagaian yang terdapat, seharusnya dilihat sebagai suatu kekuatan, bila mana kita berupaya untuk berdiri atas titik-titik persamaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette