Jurugambar MalaysiaGazette, Mohd Adzlan Mat Sidek bergambar bersama trofi dan mock cek selepas dinobat sebagai pemenang Anugerah Esei Foto Cemerlang MPI 2022 pada Majlis Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023 di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Jurugambar portal berita, Malaysia Gazette, Mohd Adzlan Mat Sidek memenangi Anugerah Malam Wartawan Malaysia anjuran MPI Petronas 2022 dalam kategori Esei Foto Cemerlang, malam ini.

Mohd Adzlan dipilih sebagai pemenang emas menerusi foto esei berjudul ‘Madrasah Darussolihin: Siap Siaga Di Bumi Tuhan’.

Beliau membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil beserta trofi.

Mohd Adzlan menewaskan lima finalis lain daripada 21 penyertaan untuk kategori tersebut.

Hasil karya beliau berkisar tentang Madrasah Darussolihin Al Qadiri yang mendapat perhatian di media sosial selepas didakwa melatih salah seorang pelatih secara militan dan dikatakan beroperasi secara haram, bagaimanapun ia dinafikan pihak madrasah tersebut.

Madrasah Darussolihin yang terletak di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam merupakan sebuah madrasah yang melaksana dan menjalankan modul 5B iaitu Berubat, Bertaubat, Beribadah, Bermujahadah dan Berhijrah berkonsepkan pusat pemulihan akhlak.

Madrasah itu memberi manfaat kepada ratusan pelatih yang rata-ratanya pernah terjebak dengan masalah keruntuhan akhlak, termasuk kes jenayah berat dan dadah.

Pemahaman umum tentang kawasan Madrasah Darussolihin Al Qadiri yang mempunyai hampir 120 pelatih daripada pelbagai latar belakang diceritakan kembali melalui hasil foto-foto Mohd Adzlan.

Ketika bercakap dengan MalaysiaGazette, kata Mohd Adzlan yang ditemui berkata, beliau yang tidak menyangka memenangi hadiah tersebut bersyukur kerana terpilih memenanginya.

“Saya rasa sangat gembira kerana saya tidak terus merakamkan gambar-gambar di madrasah itu, sebaliknya kerap membuat liputan sebelum meminta kebenaran ustaz rakam gambar dalam madrasah itu.

“Memang tidak sangka tapi syukur Alhamdulilah. Saya ingin rakamkan terima kasih kepada semua terutamanya warga kerja MG, bos-bos. Sokongan anda telah memberi saya galakan untuk terus maju,” katanya selepas Majlis Malam Wartawan Malaysia 2022 anjuran Malaysia Press Institute (MPI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pemenang Hadiah Kewartawanan Malaysia pada Majlis Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023 di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JUN 2023.

Majlis diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Malam Wartawan Malaysia (MWM), Datuk Dr Chamil Wariya dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

MWM bertujuan meraikan karya-karya kewartawanan terbaik sepanjang tahun 2022 menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2022 (HKM MPI Petronas 2022)

Lebih empat dekad penganjuran majlis ini terus didokong dengan sokongan luar biasa dan berterusan daripada Petronas sebagai penaja tunggal sejak 1994.

Tahun ini menyaksikan 44 organisasi media bersaing merebut hadiah utama HKM 2022 iaitu pemenang emas dengan wang tunai RM10,000, perak bernilai RM1,500 dan gangsa RM1,000.

Bagi Anugerah Kajai 2022 dimenangi oleh akhbar Harian Metro menerusi laporan Terima Kasih Laoshi, Hadiah Raya Paling Bermakna, Rohana Abdullah kini warga Malaysia, Sanjung Budi Laoshi oleh Yusmizal Dolah Aling. – MalaysiaGazette