Delegasi Universitas Muhammadiyah Surakarta bersama kakitangan FPSK UMS.

KOTA KINABALU – Seramai 23 pelajar Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia berkesempatan menimba pengalaman menarik melalui program mobiliti di Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Program yang diadakan selama tujuh hari itu penuh dengan aktiviti pendidikan merangkumi jalinan sosial, ikatan silaturahim dan pembelajaran tanpa sempadan.

Menurut penyelaras e-mobiliti program kejururawatan yang merupakan pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Mazlinda Musa, kerjasama antara Jabatan Kejururawatan FPSK UMS dengan Fakultas Ilmu Kesehatan, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia, telah bermula sejak tahun 2020.

Katanya, sejak tahun 2020, pihaknya telah menjalankan satu semester penuh program e-mobiliti inbound dan outbound, seminar dalam talian, projek penyelidikan kecil dan ceramah umum antara kedua-dua fakulti tersebut.

“Selepas dua tahun hubungan maya antara universiti yang berterusan ini, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Indonesia, memutuskan untuk datang dan
melawat FPSK, UMS secara fizikal.

“Antara aktiviti yang diadakan pada program mobiliti kali ini ialah program pendidikan kesihatan bersama 150 pelajar Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, ceramah berkaitan bidang kejururawatan serta lawatan tempat-tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Tambah Mazlinda, beberapa tempat lawatan sambil belajar turut dikunjungi seperti Muzium Negeri Sabah dan Perpustakaan Negari Sabah.

Pada sidang kemuncak lawatan itu, satu majlis menandatangani surat niat (LoI) telah disempurnakan oleh Dekan FPSK UMS, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree bersama Dekan Fakultas Ilmu Kesehatan, Universitas Muhammadiyah Surakarta, Dr. Umi Budi Rahayu yang mewakili universiti masing-masing.

Kedua-dua universiti bersetuju untuk berkolaborasi melalui pertukaran staf akademik, pertukaran pelajar, kerjasama projek penyelidikan serta penganjuran
aktiviti pembangunan pelajar (kokurikulum) secara bersama, seperti persidangan akademik, syarahan, kursus latihan pendek khas, pembelajaran antarabangsa dalam talian kolaboratif (COIL), seminar dan simposium. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast