FAM dan TM menandatangani perjanjian menjadikan TM rakan rasmi teknologi FAM dan Harimau Malaya untuk tempoh setahun lagi.Ihsan foto: FAM

PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneruskan kerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai rakan rasmi teknologi bagi persatuan itu dan pasukan kebangsaan bermula Jun ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kali terakhir berkolaborasi sama dilakuka pada 2020 dan jalinan kerjasama pada hari ini membuktikan hubungan baik antara FAM dan syarikat telekomunikasi itu sentiasa dipelihara.

“Sudah pasti FAM berasa gembira dan berbesar hati dengan jalinan semula kerjasama bersama TM yang tentunya akan membawa manfaat besar kepada perancangan dan pembangunan skuad bola sepak kebangsaan.

“Saya optimis bahawa hubungan strategik antara FAM dan TM ini dapat mencapai hasil penajaan yang menggalakkan selain memberi peluang TM membawakan produk mereka untuk dinikmati oleh jutaan peminat bola sepak di negara ini melalui pelbagai program promosi yang akan kita aktifkan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu di Wisma FAM, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, FAM diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman sementara TM diwakili oleh Naib Presiden (Jenama dan Pemasaran), Andrew Pinto.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran TM, Shanti Jusnita Johari menzahirkan penghargaan kepada FAM atas kolaborasi berkenaan bagi membolehkan syarikat itu memajukan sukan bola sepak negara.

“TM menerajui evolusi teknologi telekomunikasi negara sejak sekian lama ke arah membina Digital Malaysia menerusi teknologi yang memperkasa komuniti, perniagaan dan Kerajaan.

“Kini, TM telah menjalani transformasi ke arah menjadi sebuah syarikat teknologi berteraskan Insan, ataupun, ‘a Human-Centred Technology Company’.

“Peralihan ini akan turut diterapkan dalam jalinan kerjasama antara TM dan FAM ini, dengan membawakan pengalaman baharu kepada para penyokong pasukan kebangsaan melalui teknologi digital serta perkhidmatan komunikasi dan kandungan,” kata beliau. – MalaysiaGazette