Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bersama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu serta barisan kepimpinan yang ketika hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  memberi mesej jelas bahawa parti Melayu itu komited untuk mempertahankan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu jelas berdasarkan hala tuju dan komitmen UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 kali ini untuk mengekalkan perpaduan antara 19 parti komponen.

“Kita mendengar ucapan dasar jelas, hala tuju (UMNO) tidak perlu kita pertikaikan dan kita perlu dokong bersama demi memastikan perpaduan dapat kekal, tumpuan kita kepada membina negara dan rakyat.

“Ini masanya untuk kita mengukuhkan hubungan itu dan saya datang hari ini bersama Presiden Amanah sebagai rakan dan sahabat.

“Pastinya kita mahu membantu Perdana Menteri yang memimpin Kerajaan Perpaduan ke satu era yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu antara pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan yang memenuhi jemputan sebagai tetamu khas majlis perasmian PAU2023, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Sekretariat Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketika Salahuddin ditanya tentang kehadirannya menjadi satu kejanggalan apabila melangkah untuk menghadiri mesyuarat tahunan UMNO itu, beliau bagaimanapun menyifatkan ia satu kelainan.

“Sebenarnya ini adalah kedua kali, pertama saya hadir ke Konvensyen Perpaduan dan kali ini kali kedua saya hadir ke PAU2023.

“Sebagai pemimpin parti politik, tidak ada apa perbezaan, cuma kita merasakan tempat ini lebih sinonim dengan UMNO, walaupun berbeza parti tapi saya rasa kita ada agenda besar yang harus kita kongsi bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast