Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Ini kerana, keadaan politik di dalam negara amat dinamik, kata bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PRN dan PRU adalah dua perkara yang amat berbeza kerana PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu.

“PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu.

“Inilah punca sebenar kekalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hari ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi ciapan di Twitter berkata, kedudukan UMNO tidak akan seteruk sekarang jika ‘Putrajaya’ mengikuti keputusan dicapai bersama dengan mengadakan PRU-15 lebih awal sejurus parti melakar kemenangan melalui PRN Melaka dan Johor.

Katanya, masa yang tepat sangat penting dalam politik terutama bagi memastikan parti boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Ahmad mengakui gelombang serta semangat parti pasca kemenangan dalam PRN Johor dan Melaka begitu kuat, malah, ketika itu juga bekas Presiden UMN0, Datuk Seri Najib Razak, masih dapat membantu parti untuk menang.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh Ahmad yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO seperti itulah yang menyebabkan BN kalah pada PRU-15 lalu.

Katanya, unjuran UMNO pada ketika itu, BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan secara solo.

“Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.

“Sebagai perdana menteri pada ketika itu, saya mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang,” ujarnya.

Kata beliau, ekonomi pada ketika itu sedang dalam proses pemulihan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan sepatutnya proses pemulihan diteruskan bukan dengan membubarkan Parlimen.

Tambahnya, usaha-usaha untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah mula menunjukkan hasil dan buktinya apabila ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada 2022, terbaik di rantau Asia Tenggara.

Ia adalah antara yang tertinggi di dunia tetapi, usaha itu tidak dapat diteruskan kerana desakan berterusan supaya Parlimen dibubarkan.

“Namun, kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU-15,” katanya. – MalaysiaGazette