SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak senang tohmahan bahawa dirinya hanya membantu kaum tertentu sahaja sekali gus menghilangkan kuasa Melayu sejak memimpin negara.
Katanya, naratif tidak betul itu dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.
“Saya baru ambil alih dan terpaksa susun kerangka ekonomi dan saudara tahu negara kita ini sekarang ada pelbagai cabaran, yang paling besar sekarang adalah ada yang membangkit sentimen seolah-olah orang Melayu hilang kuasa, Melayu miskin, Anwar hanya jaga Cina dan India.
“Jadi saya perlukan kerjasama saudara yang faham bahawa ia fitnah,” katanya ketika berucap di majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India.
Tambah beliau, sejak menjadi perdana menteri tidak ada tindakan pengurangan projek khusus untuk masyarakat Melayu.
Sebaliknya beliau sentiasa cuba memastikan semua kaum dalam negara tidak ketinggalan dalam mendapatkan pembelaan.
“Masa jadi perdana menteri saya sudah cakap saya perdana menteri untuk Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan semuanya,” tambah beliau.
Ujar beliau, agenda membantu rakyat dalam negara yang diusahakannya tidak hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja.
”Saya tidak senang dengan naratif saya hanya tolong kaum tertentu,” katanya lagi.-MalaysiaGazette