Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berucap pada majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India ketika di Shah Alam Convention Centre (SACC), Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2023.

SHAH ALAM – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran menegaskan pendirian parti itu yang tidak menentang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Bagaimanapun beliau berkata, parti itu mahu undang-undang berkenaan tidak menjerumus kepada individu yang hanya disyaki terlibat dengan jenayah sebaliknya terhadap pelaku yang sememangnya terlibat dengan keganasan.

“Pendirian MIC  amat jelas, kita tidak menentang undang-undang  SOSMA.

“MIC  menghormati kedaulatan  undang-undang,  cukup memahami kekangan yang dihadapi oleh pihak PDRM tetapi penggunaan SOSMA harus terpakai kepada kes-kes misalnya untuk keganasan dan bukan sewenang-wenangnya atas individu-individu yang hanya disyaki dalam jenayah,” katanya ketika berucap di Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India.

Jelasnya, undang-undang berkenaan perlu digunakan untuk mendakwa tertuduh berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang kukuh.

“Gunakanlah SOSMA seperti mana tujuan akta yang digubal iaitu mengenai kes-kes keganasan.

“Ini bukan soal politik tetapi soal hak asasai setiap rakyat di mana termaktub dalam Perlembagaan negara (Persekutuan),” ujarnya lagi.

 SOSMA merupakan undang-undang kontroversi yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari tanpa waran.

Undang-undang tersebut membenarkan pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada superitendan menafikan hak tahanan dilawati saudara terdekat atau peguam mereka sehingga 48 jam, jika tiada terdapat alasan munasabah untuk berbuat demikian.-MalaysiaGazette